Saturday, February 20, 2010

Pengalaman sebagai peserta program



Pada 29 Ogos 2008, saya dan pelajar pendidikan bimbingan dan kaunseling telah menyertai satu kem yang dianjurkan oleh En. Ab Aziz b. Mohd Yatim Tuan Haji Md Noor Saper dan juga En. Taquiddin yang bertempat di Hay Resort, Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan selama 3 hari 2 malam. Perjalanan ke sana dari Tanjung Malim mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Perjalanan yang dilalui sungguh mencabar. Ini kerana melalui kawasan hutan yang tebal dan kawasan kampung yang agak terpencil pada pandangan saya.

Aktiviti pertama bermula pada waktu malam iaitu “ice breaking”. Pengisian dalam modul ini sangat menghiburkan kerana belum pernah saya hadapi. Pada waktu ini, pembahagian kumpulan berlaku dan saya mula mengenali ahli pendidikan bimbingan dan kaunseling daripada kumpulan yang lain. Rupa-rupanya ramai lagi pelajar bimbingan dan kaunseling yang belum pernah saya kenali.

Seterusnya adalah senaman koperat yang dilaksanakan oleh En. Aziz. Bagi saya senaman ini menarik kerana ia lain daripada yang lain dan belum pernah saya ikuti. Pada mulanya, saya rasa agak pelik semasa di awal pergerakan senaman ini tapi kemudiannya menjadi semakin menarik apabila pergerakkan yang dilakukan adalah selari dengan muzik yang dimainkan.

Modul yang berikutnya adalah modul personaliti dimana kita dapat mengenali personaliti seseorang melalui warna kegemaran. Pada waktu ini, saya memilih warna hijau kerana saya sememangnya meminati warna hijau. Setelah mendengar ciri-ciri personaliti yang terdapat pada mereka yang bernaung bawah warna hijau ini, saya rasa sedikit sebanyak ada yang sama dengan personaliti saya.

Modul yang paling banyak membantu saya dalam memantapkan lagi cara saya berkomunikasi dengan orang lain adalah modul komunikasi kerana modul ini mengajar kita bagaimana untuk berkomunikasi dengan mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. ini penting supaya tidak ada masalah pergaduhan sekiranya kita tahu bagaimana hendak menggunakan “PAC”.

Modul seterusnya yang paling banyak memberi kesan kepada saya adalah modul kembarun. Semasa modul ini dijalankan,saya rasa ia banyak menguji cara komunikasi dengan sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Ini kerana kami perlu bertanya kepada sesiapa sahaja supaya kami sekumpulan dapat menyelesaikan soalan yang diajukan agar kami dapat bergerak ke tempat yang ditetapkan. Sekiranya tidak berkomunikasi dengan orang sekeliling, mungkin kami akan sesat jalan. Bak kata pepatah “ malu bertanya, sesat jalan ”. Selain itu, modul ini juga banyak menguji kesabaran dan sikap kerjasama antara ahli kumpulan. Ini kerana saya perlu bersabar apabila ada ahli yang tidak mahu menerima pandangan ahli yang lain.

Modul yang paling menyentuh jiwa adalah modul “Agape Love”. Di sini saya menyedari bahawa kasih sayang itu amat penting dalam kehidupan. Bagi saya, kasih sayang perlu ditunjukkan sebelum terlambat. Ini kerana daripada apa yang diceritakan oleh kawan-kawan yang lain, berlaku konflik apabila kasih sayang itu tidak ditonjolkan dan diluahkan secara lisan.

Secara keseluruhannya, saya rasa banyak ilmu yang telah saya perolehi selama 3 hari 2 malam. Saya juga merasakan banyak perubahan yang perlu dilakukan bagi memantapkan diri dalam menjadi seorang kaunselor yang berjaya. Pada awal penyertaan dalam kem ini, saya mengaku yang saya kurang berminat untuk untuk menjadi kaunselor, ini kerana kaunselor adalah pilihan saya yang keempat semasa memohon untuk masuk ke universiti. Tetapi setelah berada selama 3 hari 2 malam dan melalui modul-modul yang disediakan, serta mendengar pengalaman En. Aziz dalam mengawal pelajar nakal, saya mula berminat untuk menjadi seorang kaunselor. Apa yang paling menarik perhatian saya adalah pengalaman En. Aziz semasa mengesan tanda-tanda pelajar yang hendak bunuh diri. Walaupun En. Aziz ada mengatakan bahawa kaunselor hanya akan dikutuk, dikeji, dihina dan sebagainya semasa berada di sekolah, tetapi saya rasa yang penting Allah tahu apa yang kita buat.

Antara aktiviti yang dijalankan



No comments:

Post a Comment