Sunday, January 24, 2010

KeNaLi DiRi BloGGer

Nama diberi oleh mak dan abah ialah Siti Nabilah Binti Zul-lkifli. Mempunyai empat orang adik beradik dan anak kedua dalam keluarga yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan. Saya mempunyai seorang abang berusia 24 tahun, seorang adik perempuan yang berusia 16 tahun dan seorang adik lelaki yang berusia 12 tahun. Abang saya telah menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan sekarang telah bekerja di KLCC. Dua orang adik saya masih belajar lagi. Abah saya bekerja sebagai Kastam di Bukit Kayu Hitam dalam unit pencegahan.



Kehidupan kami sekeluarga adalah sederhana sahaja. Saya bersyukur mendapat keluarga seperti ini kerana mereka adalah segalanya bagi saya. Walaupun mereka tidak tunjukkan kemesraan seperti keluarga lain tapi cara mereka menunjukkan kemesraan adalah berbeza. Mereka juga tidak pernah bezakan kasih sayang antara kami adik beradik.



Saya berasal daripada utara tanah air iaitu negeri kedah. Tetapi ramai yang menyangka saya berasal daripada Pulau Pinang. Dari waktu sekolah lagi ramai yang bertanya sama ada saya asal kedah atau tidak??. Mereka selalu mempersoalkan cara saya bercakap. Saya akui, kadang-kadang cara saya bercakap atau loghat saya tiada loghat utara. Ini mungkin disebabkan mak dan abah saya bukan berasal daripada kedah. Ibu saya berasal Johor manakala abah pula berasal dari Kelantan. Macam mana mereka bertemu?? Mesti semua tertanya-tanya bagaimana mereka bertemu jodoh kan...



Mereka bertemu jodoh ketika abah saya bekerja di Johor. Maka jika jodoh tak ke mana. Disebabkan mereka bukan asal daripada Kedah maka loghat percakapan saya pun kurang Kedahnya. Tapi ada yang mengatakan saya sengaja tidak mahu bercakap loghat kedah.. Sejujurnya, siapa yang mengenali diri saya, mereka akan ketahui kebenarannya.



Dari segi alam persekolahan, saya mula bersekolah ketika berusia 5 tahun lagi. Pada usia ini saya telah ke tadika di belakang rumah saya di mana ketika ini saya menetap di perumahan kastam di bukit kayu hitam. Kemudian ketika berusia 6 tahun, saya tadika sekali lagi tetapi kali ini di tadika cina di pekan changlun kerana keluarga saya telah berpindah rumah. Ketika ini saya berkawan dengan mereka yang berlainan bangsa. Seronok dan saya tahu cakap cina sikit-sikit tetapi apabila tidak dipraktikkan, saya sudah lupa. Sayang kan… Jika kita nak sesuatu kemahiran itu kekal, kita perlu selalu guna dan praktikkannya.



Kemudian, saya melangkah ke darjah satu di sekolah kebangsaan bandar bukit kayu hitam (SKBBKH) sehingga darjah. Walaupun sekolah jauh daripada rumah dan untuk ke sekolah, mak atau abah yang akan menghantar saya dengan abang saya ke sekolah. Saya rasa seronok semasa mula-mula melangkah kaki ke sekolah tersebut. Suasana sekolah ini di luar bandar dan keadaannya sungguh damai. Kawasan sekolah tersebut seperti berada di kawasan taman yang luas. Terdapat kolam ikan dan juga pondok yang digunakan oleh pelajar-pelajar untuk ulangkaji pelajaran. Ketika berada di sekolah rendah, pencapaian saya agak lemah berbanding abang saya yang selalu sahaja mendapat tempat pertama di dalam kelas. Abang saya juga satu-satunya pelajar yang mendapat 5A dalan ujian penilaian sekolah rendah (UPSR). Ia menjadi tekanan kepada saya sama ada saya boleh mengulangi sejarah tersebut atau pun tidak. Tetapi ternyata saya tidak dapat menandingi abang saya. Walaupun keputusan saya tidak teruk, tetapi saya tetap rasakan masih tidak mencukupi untuk membuktikan yang saya boleh menjadi seperti abang saya.


Kemudiannya, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun. Di sekolah ini, saya ditempatkan di kelas yang pertama. Pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah ini, saya rasa amat takut kerana sesungguhnya saya tidak mengenali sesiapa pun di sekolah tersebut. Kawan-kawan sekolah rendah dahulu melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Bukit Kayu Hitam. Hanya saya seorang sahaja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun. Ini kerana saya menetap di Changlun maka saya memilih sekolah yang berdekatan supaya mudah untuk saya ke sekolah. Pada ketika itu saya hanya berbasikal untuk ke sekolah. Saya bersekolah di sekolah tersebut sehingga tamat tingkatan 5. Banyak suka duka yang berlaku selama 5 tahun saya bersekolah di situ. Nanti saya akan ceritakan kemudian. Selepas tamat tingkatan 5, saya sambung belajar tingkatan 6 di sekolah menengah kebangsaan Jitra kerana saya dapat aliran sains tetapi hanya seminggu saya berada di sekolah tersebut kerana saya sudah tidak boleh bawa lagi aliran sains. Saya kembali menyambung tingkatan 6 di sekolah Menengah Kebangsaan Changlun sehingga tamat tingkatan 6. Selepas tamat tingkatan 6, saya dapat banyak tawaran sama ada tawaran kerja dan juga tawaran untuk menyambung pelajaran tetapi saya buat keputusan untuk sambung belajar dan hasilnya saya masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sekarang ini saya sudah semester 6 dan mengambil kos pendidikan bimbingan dan kaunseling.

TerIngat KeNangan SeMester SaTu...

Ketika ini, hanya saya sorang sahaja dari sekolah saya yang dapat melanjutkan pelajaran di UPSI. Semasa tiba di tanjung malim bersama keluarga, saya rasa satu perasaan yang sangat aneh, saya rasa seperti sedih, gembira, takut dan sebagainya. Saya juga rasa keseorangan kerana tidak ada kawan. Ketika ini saya dapat rasakan perubahan dalam diri saya. Saya rasa seperti hendak menangis. Tibanya ditempat pendaftran, saya d temani oleh mak dan abah. Mereka setia menemani saya pada hari tersebut. Pendaftaran berjalan dengan lancar dan selesai pendaftaran, saya ke bilik saya. Keluarga saya pun ikut sama ke kediaman baru saya. Rupa-rupanya, satu rumah ada 3 bilik dan setiap bilik menempatkan 2 orang. Teman sebilik saya berasal dari utara maka tiada banyak perbezaan dari segi bahasa mahupun makanan ataupun cara hidup. Selain itu, dalam rumah tersebut juga ada menempatkan dua orang kakak pelajar DPLI. Jadi kami tidak berasa sunyi sepanjang seminggu minggu orientasi berlangsung. Hari telah beransur petang, perasaan aku semakin sayu kerana mak dan abah akan meninggalkan saya di rantauan. Selama 20 tahun hidup, saya tidak pernah berpisah jauh daripada keluarga. Ini adalah kali pertama. Perasaan sememangnya bercampur baur. Semasa mak menghantar saya hendak pulang, saya dapat lihat titis air mata nya. Perasaan nya juga sama seperti saya kerana pertama kali saya akan berjauhan dengan nya.

Orientasi untuk pelajar baru berlangsung selama seminggu. Sepanjang minggu tersebut sememangnya jadualnya begitu padat sekali. Ada sahaja program yang perlu diikuti. Dari pagi sehingga malam. Dari bertempat di kolej hingga lah bertempat dikampus. Pada awalnya, memang rasa macam nak lari je tapi nasib ada rakan-rakan baru yang dikenali memberi semangat dan dorongan untuk terus sehingga penghujung minggu orientasi. Pada waktu ini, baru saya dapat kenali ramai kawan-kawan dari pelbagai negeri. Dan ada pelbagai perangai dan kerenah. Ada yang saya dapat terima dan ada juga sesetengahnya menyebabkan saya rasa meluat dengan perangai mereka. Tetapi apa boleh dikata, setiap manusia adalah unik maka kita harus terima mereka tanpa syarat. Minggu orientasi berjalan dengan lancar dan saya rasa sangat letih kerana aktivitinya yang padat. Tapi itulah pengalaman yang jarang akan diperolehi. Mungkin seumur hidup sekali. Setelah seminggu berlalu, senior mula mendaftarkan diri.

Pada waktu ini, perasaan rindukan keluarga dan kampung halaman semakin kuat. Tambahan pula, kuliah akan bermula. Perasaan risau semakin menguasai diri. Setiap hari, saya akan menelefon mak dan mengatakan perasaan saya pada ketika itu. Mak hanya mampu memberi kata-kata semangat dan menyuruh saya sabar. Selain mak, kakak-kakak DPLI juga banyak memberi semangat kepada saya. Mereka cuba menghilngkan perasaan yang saya rasa ketika itu. Lama ke lamaan saya kembali normal tetapi ia mengambil masa lebih pada sebulan. Dalam tempuh tersebut, mak dan abah sering kali datang melawat saya di tanjung malim. Saya bersyukur kerana di kurniakan kedua ibu bapa yang begitu penyayang dan banyak menyokong saya ketika saya hampir putus asa. Sampai ke akhir hayat saya akan kenang jasa mereka. Ini kerana saya pernah mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan mereka yang memberi semangat kepada saya dan tidak putus-putus memujuk saya. Apa yang saya lalui sepanjang semester satu ini di nama kan sebagai "HOME SICK". Pengalaman ini akan saya kenang sampai bila-bila. Bila difikirkan kembali, malu pun ada. Tapi hakikatnya, bukan saya sorang je yang pernah merasa semua ini, tapi masih orang lain yang rapat dengan keluarganya turut merasa perkara yang pernah saya rasa ini. Ini baru cerita mengenai perasaan semasa semester satu. Belum lagi mengenai pengalaman belajar. Macam-macam ada. Nanti saya sambung lagi ye..Bila internet dah ok, saya sambung lagi ye..Mungkin saya akan ceritakan pengalaman di padang UPSI sebagai PERKASA...jumpa lagi..

Bertemu lagi..Kali ni saya nak berkongsi cerita atau pengalaman saya sendiri sepanjang bergelar pelajar di UPSI. Semasa semester satu, saya rasa belajar di universiti sangat susah. Susah sangat-sangat. Saya rasa jadual begitu padat. Mana nak study lagi, kokurikulum, kelas, asgment dan macam-macam lagi. Tapi ini semua pengalaman yang berharga. Saya masih ingat semasa kokurikulum. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk belajar kawad, kompas, balutan, ikatan dan sebagainya. Instructor kami juga baik kerana tidak terlalu garang dan sporting sangat-sangat. Saya masih ingat lagi, dia banyak membantu kumpulan saya dalam mempelajari cara nk kawad. Kami semua pelu tahu bagaimana untuk kawad kerana akhir semester, ada pertandingan. Selain itu, ada juga peperiksaan mengenai apa yang kami pelajari dalam satu semester. Apa yang agak melucukan adalah apabila kami semua mengambil peperiksaan di tengah padang UPSI. Pada ketika itu cuaca sememangnya panas terik sehingga menyebabkan kami semua tidak selesa. Nasib kami agak baik kerana peperiksaan itu tidak mengambil masa yang lama dan soalannya juga agak midah iaitu berkaitan dengan apa yang telah kami pelajari.


Semester satu kurang mencabar..Semester dua agak mencabar apabila semua pelajar yang mengambil subjek hubungan etnik perlu melakukan program di luar daripada UPSI. Kami perlu buat program di perkampungan orang asli atau pun di sekolah yang terletak dalam perkampungan. Ketika ini kami tiada pengalaman dan agak sukar untuk melakukannya. Kami banyak belajar daripada program kami yang pertama ini. Daripada program ini lah kami belajar bagaimana untuk membuat kertas kerja dan kami juga belajar bagaimana untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak UPSI untuk melakukan program di luar UPSI. Banyak cabaran yang perlu kami tempuhi. Antaranya dari segi menetapkan tarikh kerana ada sekolah yang tidak bersetuju dengan tarikh yang dipilih dan ada juga sekolah yang ingin lakukan program terlalu awal. Selain itu, terdapat juga beberapa lagi cabaran yang kami tempuhi. Jika tidak silap, kami telah pergi ketiga buah sekolah dan akhir sekali kami telah memilih sekolah yang terletak di Kelantan. Program yang kami lakukan berlangsung selama 3 hari 2 malam. Kami bertolak ke Kelantan dengan menaiki bas. Satu pengalaman yang berharga kerana banyak barang yang kami bawa untuk jalankan program di sana. Sampai saja di sana kami semua menetap di rumah salah seorang daripada ahli kumpulan kerana kami sampai awal pagi. Program yang dirancang akan berlangsung pada waktu petang.



Pertama kali melakukan program ini, macam-macam perasaan yang wujud dalam hati setiap ahli kerana kami semua tiada pengalaman dalam menjalankan program. Ketika melakukan “icebreaking” ada pelajar-pelajar yang agak nakal dan tidak mahu mendengar kata. Ada juga yang terlampau aktif sehingga kadang-kadang kami tidak dapat mengawal mereka. Kami juga perlu menjaga tingkahlaku kerana ada ibu bapa yang datang melihat anak mereka tidak mengira waktu. Ada juga ibu bapa yang datang pada waktu malam dan ada juga yang datang pada waktu pagi. Di sini saya dapat simpulkan bahawa ibu bapa di perkampungan ini amat mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Pengisian program adalah seperti program-program yang pernah kami ikuti. Semua berjalan dengan lancar tetapi saya agak terkilan kerana satu aktiviti yang saya lakukan tidak dapat dilaksanakan akibat daripada kelalaian saya sendiri dan kami semua terpakssa tukarkan aktiviti lain pada waktu tersebut. Walaupun saya rasa sangat kecewa, rakan-rakan yang lain banyak memberi sokongan. Mereka tidak menyalahkan saya. Saya rasa bersyukur sangat. Perkara yang paling berharga dan berjaya yang saya rasakan ialah apabila kami semua berjaya mengawal beberapa pelajar yang paling nakal dalam kumpulan tersebut. Kami juga berjaya menaikkan penghargaan kendiri mereka. Mereka juga sudah berani untuk bercakap di hadapan khalayak ramai berbanding pertemuan pertama pada hari pertama.



Pada hari terakhir, berlangsungnya majlis penutupan yang menandakan program yang kami jalankan selama 3 hari 2 malam itu sudah berakhir. Walaupun banyak kekurangan semasa menjalankan program ini, tetapi itulah pengalaman pertama melakukan program di sekolah.

Friday, January 8, 2010

Pertama kali @ first time

Salam...bahagianya dapat belajar membina blog dengan En. Aziz.. Nie merupakan pertama kali atau first time membina blog nie.. Nampak macam senang nak dibina..Tetapi ada yang sukarnya..Mungkin yang sukar adalah kandungan yang perlu di masukkan dalam blog...Tetapi mana ada kerja mudah untuk berjaya..so saya akan belajar dari bawah...Saya harap saya akan dapat banyak idea dalam menjadikan blog ini menarik untuk tatapan semua... Untuk permulaan blog ini, saya rasa setakat ini dahulu.. Mungkin akan disambung malam ini atau pun pada masa lapang..Yang penting sekali terima kasih kepada En. Aziz..Banyak ilmu saya perolehi sepanjang menjadi pelajar En. Aziz.. Walaupun sudah tidak mengajar kami, apa ilmu yang telah diberikan kepada kami akan kami praktik dan gunakan sebaik mungkin.. Semoga En. Aziz succes selalu...
U I LOVE...