Saturday, February 20, 2010

Pengalaman sebagai peserta program



Pada 29 Ogos 2008, saya dan pelajar pendidikan bimbingan dan kaunseling telah menyertai satu kem yang dianjurkan oleh En. Ab Aziz b. Mohd Yatim Tuan Haji Md Noor Saper dan juga En. Taquiddin yang bertempat di Hay Resort, Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan selama 3 hari 2 malam. Perjalanan ke sana dari Tanjung Malim mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Perjalanan yang dilalui sungguh mencabar. Ini kerana melalui kawasan hutan yang tebal dan kawasan kampung yang agak terpencil pada pandangan saya.

Aktiviti pertama bermula pada waktu malam iaitu “ice breaking”. Pengisian dalam modul ini sangat menghiburkan kerana belum pernah saya hadapi. Pada waktu ini, pembahagian kumpulan berlaku dan saya mula mengenali ahli pendidikan bimbingan dan kaunseling daripada kumpulan yang lain. Rupa-rupanya ramai lagi pelajar bimbingan dan kaunseling yang belum pernah saya kenali.

Seterusnya adalah senaman koperat yang dilaksanakan oleh En. Aziz. Bagi saya senaman ini menarik kerana ia lain daripada yang lain dan belum pernah saya ikuti. Pada mulanya, saya rasa agak pelik semasa di awal pergerakan senaman ini tapi kemudiannya menjadi semakin menarik apabila pergerakkan yang dilakukan adalah selari dengan muzik yang dimainkan.

Modul yang berikutnya adalah modul personaliti dimana kita dapat mengenali personaliti seseorang melalui warna kegemaran. Pada waktu ini, saya memilih warna hijau kerana saya sememangnya meminati warna hijau. Setelah mendengar ciri-ciri personaliti yang terdapat pada mereka yang bernaung bawah warna hijau ini, saya rasa sedikit sebanyak ada yang sama dengan personaliti saya.

Modul yang paling banyak membantu saya dalam memantapkan lagi cara saya berkomunikasi dengan orang lain adalah modul komunikasi kerana modul ini mengajar kita bagaimana untuk berkomunikasi dengan mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. ini penting supaya tidak ada masalah pergaduhan sekiranya kita tahu bagaimana hendak menggunakan “PAC”.

Modul seterusnya yang paling banyak memberi kesan kepada saya adalah modul kembarun. Semasa modul ini dijalankan,saya rasa ia banyak menguji cara komunikasi dengan sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Ini kerana kami perlu bertanya kepada sesiapa sahaja supaya kami sekumpulan dapat menyelesaikan soalan yang diajukan agar kami dapat bergerak ke tempat yang ditetapkan. Sekiranya tidak berkomunikasi dengan orang sekeliling, mungkin kami akan sesat jalan. Bak kata pepatah “ malu bertanya, sesat jalan ”. Selain itu, modul ini juga banyak menguji kesabaran dan sikap kerjasama antara ahli kumpulan. Ini kerana saya perlu bersabar apabila ada ahli yang tidak mahu menerima pandangan ahli yang lain.

Modul yang paling menyentuh jiwa adalah modul “Agape Love”. Di sini saya menyedari bahawa kasih sayang itu amat penting dalam kehidupan. Bagi saya, kasih sayang perlu ditunjukkan sebelum terlambat. Ini kerana daripada apa yang diceritakan oleh kawan-kawan yang lain, berlaku konflik apabila kasih sayang itu tidak ditonjolkan dan diluahkan secara lisan.

Secara keseluruhannya, saya rasa banyak ilmu yang telah saya perolehi selama 3 hari 2 malam. Saya juga merasakan banyak perubahan yang perlu dilakukan bagi memantapkan diri dalam menjadi seorang kaunselor yang berjaya. Pada awal penyertaan dalam kem ini, saya mengaku yang saya kurang berminat untuk untuk menjadi kaunselor, ini kerana kaunselor adalah pilihan saya yang keempat semasa memohon untuk masuk ke universiti. Tetapi setelah berada selama 3 hari 2 malam dan melalui modul-modul yang disediakan, serta mendengar pengalaman En. Aziz dalam mengawal pelajar nakal, saya mula berminat untuk menjadi seorang kaunselor. Apa yang paling menarik perhatian saya adalah pengalaman En. Aziz semasa mengesan tanda-tanda pelajar yang hendak bunuh diri. Walaupun En. Aziz ada mengatakan bahawa kaunselor hanya akan dikutuk, dikeji, dihina dan sebagainya semasa berada di sekolah, tetapi saya rasa yang penting Allah tahu apa yang kita buat.

Antara aktiviti yang dijalankan



Pengalaman di Pusat Serenti

Ahli kumpulan yang terlibat

Tugasan yang diberikan untuk kursus Pendidikan dan pencegahan dadah (KKD 3013) ini agak mencabar kerana perlu melakukan aktiviti di pusat serenti yang terdapat di Malaysia. Satu kumpulan terdiri daripada 7 hingga 8 orang ahli di mana ahli-ahlinya dipilih sendiri. Setelah melakukan perbincangan antara ahli, kami telah memilih pusat serenti yang terdapat di negeri Kedah iaitu PUSPEN Karangan. Prosedur di PUSPEN ini tidak begitu ketat dan mereka mengalu-alukan kedatangan kami ke tempat mereka. Saya dan seorang lagi rakan ditugaskan untuk membuat kertas kerja. Setelah kertas kerja siap, kelulusan daripada pihak universiti diperlukan bagi melakukan tugasan di luar daripada universiti. Agak susah untuk mendapat tandatangan kerana banyak pihak yang sibuk tetapi akhirnya kami dapat juga kelulusan tersebut berkat dari kesabaran semua ahli.

Tiga hari sebelum program, gerak kerja untuk persiapan bagi menjalankan program ini dilaksanakan. Antaranya ialah persiapan dalam membeli barang untuk membuat cenderamata bagi pihak PUSPEN Karangan. Bajet yang diperuntukkan adalah lebih kurang RM2.50 bagi seorang pelatih. Semua gerak kerja berlaku dengan lancar kerana semua ahli memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan semua dapat disediakan seperti yang dirancang. Gerak kerja dilakukan lebih awal kerana kami semua bertolak ke kedah awal daripada tarikh program.


Kami bertolak ke PUSPEN Karangan pada 28 haribulan Ogos 2009 pada jam 3 petang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Semasa dalam perjalanan, saya rasa sedikit gementar kerana ini pertama kali saya berdepan dengan bekas penagih dadah. Selama ini, persepsi saya terhadap mereka sememangnya teruk kerana bagi saya mereka ini bukan sahaja sampah masyarakat tetapi mereka ini hanya merugikan negara kerana banyak menghabiskan duit kerajaan semasa dalam proses pemulihan. Tetapi setelah mereka pulih, mereka akan terjebak kembali dan kemudian kembali menjalani pemulihan. Bagi saya, semua ini satu pembaziran.


Program yang dilakukan oleh kami adalah lebih kepada berkongsi pengalaman mereka dan program kami diberi nama “Masih Ada Sinar Kebahagian”. Tarikh program kami adalah pada 30 haribulan Ogos iaitu pada hari ahad. Sebelum ini, kami merancang untuk melakukan program pada tarikh 28 haribulan Ogos tetapi tidak boleh kerana pada tarikh tersebut, mereka cuti. Cuti di negeri kedah adalah pada hari jumaat dan sabtu. Maka kami terpaksa lakukan program pada hari ahad iaitu 30 Ogos 2009.


Pada hari kejadian, semua ahli bangun awal kerana program bermula jam 10 pagi. Kami bersiap awal kerana kami perlu mencari PUSPENS tersebut. Dengan bantuan daripada bapa saudara salah seorang daripada ahli kumpulan kami, kami sampai di PUSPEN. Karangan tersebut agak awal daripada masa yang ditetapkan. Ketibaan kami di sambut baik oleh Komandan dan warga di situ. Kami terpaksa tunggu sebentar kerana kami semua tiba awal dan pada ketika itu pelatih-pelatih tersebut sedang berhimpun. Mungkin perhimpunan pagi. Pada ketika ini saya sudah rasa takut yang amat sangat kerana semasa kami semua menanti di situ, semua mata pelatih memandang ke arah kami. Keadaan ini menyebabkan saya rasa agak tidak selesa. Dalam masa menunggu, kami dapat berbincang bagi melakukan persiapan terakhir. Banyak yang kami bincangkan termasuk perjalanan majli yang akan kami lalui sebentar lagi.


Setelah jam 10 pagi, kami semua bergerak masuk ke dalam kawasan larangan tersebut. Kami diiringi oleh warga di situ. Perasaan saya ketika itu sememang amat takut kerana semua mata pelatih di situ memandang ke arah kami. Pandangan mereka semua sememangnya amat menakutkan. Kami dibawa ke sebuah dewan yang agak kecil seperti sebuah kelas. Kami berterima kasih banyak-banyak kerana menyediakan tempat walaupun tempat tersebut agak sempit bagi memuatkan 30 orang. Mereka terpaksa berikan dewan tersebut kerana pada hari tersebut merupakan hari melawat ahli keluarga pelatih dan menyebabkan dewan yang agak selesa digunakan untuk keluarga yang datang melawat atau perjumpaan keluarga. Program bermula agak lewat dan tidak mengikut jadual yang telah kami rancang kerana ada beberapa kekangan yang berlaku.


Semasa pelatih-pelatih tersebut tiba di dewan, mata saya asyik perhatikan personaliti mereka dan fizikal mereka. Ada seorang pelatih itu sememangnya nampak ganas dan menakutkan kerana di tangannya terdapat tattoo. Saya rasa agak takut semasa berhadapan dengannya. Sepatutnya saya tidak boleh menilai orang sebegitu tetapi kita manusia biasa yang tidak lari memberi penilaian pertama semasa awal perjumpaan. Program kami dimulakan dengan kami memperkenalkan diri masing-masing. Rasa agak gementar untuk memperkenalkan diri. Tetapi semua berjalan dengan lancar kerana pelatih di situ memberikan kerjasama yang baik dan mereka juga sangat bersemangat untuk mengenali diri kami semua. Walaupun aktiviti dijalankan pada bulan puasa, mereka semua cergas dan tidak berhenti-henti bercakap. Selepas memperkenalkan diri, kami membahagikan pelatih-pelatih kepada empat kumpulan supaya senang untuk melakukan aktiviti. Aktiviti pertama ialah menjawab soalan inventori dan pada masa ini saya asyik fikirkan samaada mereka akan merasa bosan semasa menjawab soalan inventori ini atau tidak. Inventori personaliti ini ditadbir oleh Asiah. Pentadbiran inventori ini mengambil masa agak lama kerana ada pelatih yang tidak dapat membaca maka kami terpaksa membantu mereka dengan bacakan kepada pelatih yang tidak tahu membaca. Pada waktu ini, saya rasa seronok kerana dapat membantu pelatih yang tidak tahu membaca menjawab soalan inventori ini tetapi dalam masa yang sama, saya rasa sangat letih kerana perlu terangkan maksud soalan-soalan inventori tersebut.


Pemikiran saya mengenai mereka juga sudah berubah sedikit demi sedikit di mana mereka ini tidak seteruk yang saya sangka dan saya seronok dapat mengenali mereka. Semasa menjalankan inventori ini, saya mengambil kesempatan ini untuk menghafal dan mengenali ahli kumpulan saya. Saya melakukan sedemikian kerana saya tidak mahu ada pelatih yang tersisih atau rasa terabai. Syukur sangat kerana sebelum tamat aktiviti Inventori Personaliti ini, saya dapat menghafal semua nama pelatih yang menjadi ahli kumpulan saya. Saya rasa saya masih ingat nama mereka sampai sekarang. Semasa Asiah menerangkan tujuan inventori ini dijalankan, semua pelatih rasa teruja untuk mengetahui personaliti mereka. Semua berebut untuk mengetahui nya. Tetapi disebabkan masa agak singkat, kami hanya sempat interpretasi personaliti beberapa orang sahaja. Aktiviti ini terpaksa ditamatkan kerana sudah tiba waktu rehat mereka. Aktiviti kedua akan bersambung pada jam 3 petang.


Sementara menunggu jam 3 petang, kami semua berehat di rumah bapa saudara salah seorang ahli kumpulan. Kami berehat dan kemudian menunaikan solat zohor di rumah tersebut. Jarak rumah tersebut daripada tempat kami jalankan aktiviti adalah lebih kurang 15 minit sahaja. Maka kami bertolak dari tempat kami berehat pada jam 2.30 kerana kami tidak mahu terlambat bagi memulakan slot kami yang kedua iaitu slot perkongsian pengalaman antara kami pelajar UPSI dan pengalaman mereka sebagai bekas penagih dadah. Banyak perkara yang dikongsi bersama kerana mereka begitu terbuka dengan segala apa yang dibincangkan pada ketika itu. Pada ketika itu saya rasa sangat kagum dengan apa yang mereka ceritakan. Ini kerana ada daripada mereka yang mendapat sokongan yang padu daripada ahli keluarga kerana ingin melihat mereka berubah. Saya paling kagum dengan seorang pelatih ini. Dia digelar Pak Long kerana usianya sudah hampir mencapai 50 tahun. Sebelum dia masuk ke PUSPEN Karangan, dia mempunyai pekerjaan yang baik iaitu bekerja dengan Majlis Bandaraya Alor Setar. Saya rasa kagum dengannya kerana Pak Long mempunyai seorang isteri yang masih setia walaupun dia telah menagih dadah daripada usianya dalam linkungan 20 tahun. Dia juga dikurniakan tiga orang anak yang masih menuntut di Institut pengajian tinggi di Malaysia. Pak Long di hantar sendiri oleh isterinya di mana isterinya mahu melihat dia berubah dan tidak mahu lagi melihat dia menagih dadah. Begitulah sokongan yang diperolehi oleh Pak Long daripada insan yang tersayang. Banyak cerita yang dikongsi oleh Pak Long bersama saya. Antaranya dia mengatakan bahawa cukup susah untuk berhenti menagih dadah. Walaupun sudah pulih sepenuhnya, bekas penagih macamnya pasti akan teringat juga. Bak kata Pak Long “Benci Tapi Rindu”.


Kebanyakan cerita daripada mereka menunjukkan mereka terlibat dengan najis dadah ini disebabkan mereka ingin mencuba dan pengaruh rakan-rakan. Ada daripada mereka yang menagih dan diketahui oleh keluarga tetapi keluarga tidak mengambil kisah. Keadaan ini yang akan mendorong mereka lebih terjebak dengan teruk kerana ada sesetengah keluarga sendiri yang menjadi punca pendapat atau sumber kewangan mereka untuk mendapatkan bekalan dadah. Kebanyakan bekas penagih di situ berasal daripada negeri kedah sendiri, Kelantan, Terengganu dan Perlis.


Apa yang menyedihkan saya ialah, ada pelatih di situ sebaya dengan abah atau datuk saya. Bukan mereka hendak jadi begitu tetapi mereka tidak berdaya untuk melawan rasa ingin mengambil dadah. Mereka semua semakin pulih tetapi mungkin akan terjebak kembali disebabkan faktor diri sendiri, rakan-rakan, tiada sokongan, faktor persekitaran dan sebagainya. Perkara yang menarik perhatian saya semasa mereka berkongsi cerita dengan saya ialah mengenai bagaimana keadaan mereka pada waktu mula-mula mereka di hantar ke pusat serenti ini. Mereka mengatakan bahawa keadaan mereka sungguh menyedihkan di mana mereka sangat kurus. Tidak seperti sekarang di mana mereka sudah kembali sihat dan ceria. Semasa mula-mula mereka berada di pusat serenti, mereka dikurung di sebuah bilik selama dua minggu. Daripada apa yang diceritakan, saya dapat mengambarkan bahawa bilik tersebut seperti sebuah penjara kerana di situ mereka tidur, mandi, makan dan melakukan rutin harian selama dua minggu. Di dalam bilik itu juga mereka melawan ketagihan secara sendirian dengan cara menyiram air ke badan mereka sendiri. Selepas dua minggu baru mereka akan menjalani pemulihan seperti biasa bersama pelatih-pelatih lain.


Selain itu, daripada pandangan mata saya, saya dapati mereka hidup dengan gembira di dalam pusat ini seperti sebuah keluarga di mana mereka sungguh rapat dengan penjaga-penjaga mereka. Mereka juga rapat antara mereka kerana saya dapat lihat bahawa mereka saling bantu membantu. Mereka sering juga melawak sesama mereka walaupun lawak mereka agak kasar pada pandangan mata saya.


Sebelum tamat program jam lima petang, kami melakukan sedikit majlis penutupan di mana kami memberi sedikit tanda penghargaan daripada kami pelajar UPSI kepada mereka sebagai tanda penghargaan kerana sudi menerima kami dengan tangan terbuka untuk mengadakan program pada hari tersebut. Tidak ketinggalan juga kepada pelatih-pelatih yang mengambil bahagaian pada hari tersebut. Setelah majlis penutup dilaksanakan, kami semua berangkat pulang ke rumah saudara Asiah.


Selama menjalankan program di pusat serenti tersebut, pemikiran saya mengenai bekas penagih dadah sudah berubah. Ini kerana apa yang mereka ceritakan ada yang menyedihkan dan menginsafkan. Selain itu, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada apa yang diceritakan dan nasihat yang disampaikan oleh mereka ada gunanya juga kerana mereka juga tidak mahu melihat anak bangsa serta muda-mudi zaman sekarang musnah kerana najis dadah. Bagi mereka, jangan cuba untuk mengambil dadah kerana sekali mengambil dadah, kesan yang bakal dirasai adalah sepanjang hayat. Ada satu nasihat yang agak melucukan pada pandangan saya di mana mereka nasihati kami supaya mencari jodoh yang baik-baik dan mereka katakana bahawa calon-calon tersebut ada diantara mereka. Walaupun lucu tetapi ada benarnya kerana sebelum mencari pasangan hidup, kita perlu periksa dahulu supaya tidak menyesal pada akhirnya. Ini kerana pengalaman daripada sendiri. Ini kerana ada daripada kalangan mereka yang sudah bercerai dengan isteri masing-masing akibat daripada tidak tahan dengan keadaan mereka yang menagih dadah. Oleh itu, sebelum berumahtangga, periksa atau semak dahulu sama ada bakal suami itu penagih atau tidak, baik atau tidak, sesuai atau tidak. Bagi saya, nasihat ini agak lucu tetapi bagi mereka, nasihat ini penting kerana akan memberi kesan pada masa hadapan.


Walau bagaimanapun, saya rasa program atau tugasan seperti ini amat berguna kepada saya kerana banyak pengalaman yang ditimba semasa menjalankan program di pusat serenti. Sekiranya tiada tugasan seperti ini, mungkin sampai sekarang saya tiada kesempatan untuk menjejakkan kaki ke pusat serenti. Sesungguhnya pengalaman yang saya timba ketika menjalankan program di pusat serenti ini akan saya kenang sampai bila-bila. Saya juga rasakan seperti ingin lakukan program seperti ini jika mempunyai kesempatan tetapi kali ini biar perancangannya lebih teratur dan modul yang disediakan juga lebih mantap. Saya kata sedemikian kerana kami mempunyai kekangan masa dengan mereka pada ketika itu. Kami terpaksa mengikut masa mereka yang agak padat pada hari tersebut kerana mereka mempunyai program sambutan merdeka. Walaupun kekangan masa yang kami dan mereka hadapi, tetapi mereka tetap mahu mengikuti program yang kami lakukan. Ini menunjukkan mereka tidak seperti apa yang disangkakan. Mereka juga peramah dan berfikiran terbuka sepanjang program yang kami jalankan. Saya sungguh gembira dengan pengalaman yang ditimba pada semester kali ini.



Wednesday, February 17, 2010

Mat Rempit Oh Mat Rempit

Bukan nak jatuhkan mereka tapi nak tahu apa kepuasannya merempit ye???? dan sekarang ini yang lagi membimbangkan ialah apabila pelbagai isu mula timbul akibat daripada perbuatan mereka..Antaranya ialah..

1. Sikap berani dan melampau mat rempit semakin menjadi-jadi dan ada yang sanggup membunuh orang awam yang tidak berdosa
2. Segelintir Mat Rempit juga menjadi peragut yang membahayakan orang awam.
3. Penguatkuasaan dikatakan terlalu lemah dan tidak berupaya menangani gejala ini.
4. Ibu bapa turut dipersalahkan kerana tidak memberi didikan agama yang baik dan tidak mampu mengawal anak masing-masing.

Apa masalah mereka sebenarnya?? siapa yang perlu bertanggungjawab akibat daripada perbuatan mereka ini?? Susah untuk diperdebatkan..kita hanya melihat dan menilai dari sudut pandangan sendiri. Jika bersuara takut diri sendiri jadi mangsa jika tidak bersuara gejala ini akan terus berleluasa.

Antara aksi mereka



Akibat daripada aksi mereka...

CiNtA DaTaNg DaN PeRgI???

Mudah bagi manusia untuk berkata tentang cinta..Mudah juga kepada insan untuk mengungkap kata cinta seperti melafazkan A,B,C.. Tetapi adakah mereka menghayati maksud sebenar cinta??
Cinta mudah untuk hadir.. Sehari sudah cukup untuk kita merasai nikmat bercinta tetapi mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk lupakan sakitnya hati bila kecundang dalam bercinta.

Adakah anda tahu apa itu cinta yang sebenar??

Kita sedia maklum bahawa sifat cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya. Cinta juga telah wujud sejak dilahirkan. Rasa cinta itu wujud di dalam jiwa manusia sejak manusiaa itu lahir ke dunia cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu, membawa kepada cinta kepada kekasih dan selepas puas bercinta sesama manusia, maka akan cinta kepada tuhan. Adakah anda tahu cinta itu indah walaupun kita tidak dapat lihat melalui mata kasar??Bagi mereka yang melalui pengalaman bercinta sahaja yang akan tahu bahawa cinta itu sememangnya indah.

Cinta itu bukan saja indah, tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan
bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel, tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.

Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya…mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana, akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Selain itu cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda? Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri. Sebetulnya, bercinta sesama insan perlu ada batasnya. Sebelum bercinta sesama insan, lebih baik cintakan diri sendiri kerana bila kecundang bercinta tidak akan rasa begitu teruk untuk dipulihkan.


Tuesday, February 2, 2010

Teknik Belajar Yang Berkesan...

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk belajar dan terdapat pelbagai teknik... Dekat sini saya nak kongsi sikit teknik ysng telah saya baca dan boleh dipraktikkan...Anda semua nak tau tak?? Sure nak tau kan...
Dekat sini saya berikan dua teknik...tekniknya adalah seperti berikut:


Teknik Belajar 5R-STUV

  1. Recopy [salin semula]
  2. Rework all model 5 x [buat semula contoh/cepat/5x]
  3. Recite out loud Repeatedly [lafaz kuat berulang kali]
  4. Recheck [semak semula]
  5. Reasonnablenes [jawapan berpatutan/sebaliknya]

  1. s-sumarize [ringkaskan nota penting]
  2. t-test your self [uji diri anda]
  3. u-use [gunakan]
  4. V-visualize [bayangkan selalu

Teknik belajar secara pembayangan



Kita mempunyai apa yang dinamakan otak kanan dan otak kiri. Otak kiri melibatkan pemikiran bercorak 'akademik' seperti perkataan, nombor, kebolehan saintifik, matematik, bahasa, analisisi dan penggunaan tangan kanan.

Otak kanan pula melibatkan aktiviti bersangkutan irama, imaginasi, warna, khayalan, ilham, corak, dimensi dan penggunaan tangan kiri.

Persoalan yang timbul adakah kita menggunakan kedua-dua bahagian otak dengan bijaksana. Umpamanya adakah kita selalu menggunakan otak kanan kita untuk menghayalkan pelajaran atau atau adakah ia selalu digunakan untuk menghayalkan dan mengimaginasi masalah peribadi, angan-angan kosong, dendam, hasad-dengki,amalan ilmu hitam dan perasaan yang tidak berhubungkait dengan pelajaran.

Jika otak bahagian kanan ini belum lagi digunakan sepenuhnya untuk mengkhayalkan pelajaran, maka masanya telah tiba kita mengkikis semua khayalan dan imaginasi kosong dan segerakan gunakan setiap saaat yang ada untuk khayalan digunakan untuk membayangkan pelajaran.

Teknik pembayangan perlu penumpuan. Penumpuan yang serius amat perlu. Sebaik-baik suasana ialah yang sunyi sepi seperti semasa berehat, semasa berbaring sebelum tidur malam, semasa duduk berseorangan menenangkan fikiran, semasa menumpang bas atau teksi, semasa di stesen bas dan lain-lain.

Sebagai contoh kita ambil suasan berbaring sebelum tidur. Bilik sudah gelap. Keadaan sunyi sepi. Dalam suasana ini, tenangkan fikiran. Mula bayangkan soalan-soalan, raja, sifir, graf dan apa juga yang telah dipelajari. Bayang ia satu demi satu. Untuk menguatkan tumpuan tulis, lukis apa yang diingat di atas tilam dengan menggunakan telunjuk anda. Amalakan ini setiap malam. Soal diri anda, satu ke satu soalan, mata pelajaran ke mata pelajaran sehinggalah tertidur. Ulangi bila terbangun di tengah malam. Amalkan ia dari sehari ke sehari, seminggu ke seminggu, sebulan ke sebulan bermula dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6. Bila ruangan khayalan ini dipositifkan dengan fikiran sehat, anda akan rasakan hasil usaha ini. Bagi anda yang belum mengamalkannnya, cuba mula dari sekarang.

Teknik Belajar PV3R

  1. Preview (tinjauan awal)
  2. Question (soal diri)
  3. Read & Underline (Baca,garis dan tanda)
  4. Recite & write (lafaz dan tulis nota)
  5. Review (tinjauan akhir)
  6. Sumarize (ringkaskan)
  7. Test your self (uji diri anda)
  8. Use (gunakan)
  9. Visualize (bayangkan)




Rahsia-rahsia disebalik pengurusan masa cemerlang


  1. Masa sebelum tidur - masa berbaring sebelum tidur. Aamalkan teknik belajar secara bayangan. Menulis atau menyelesaikan masalah dengan cara menulis dengan menggunakan jari telunjuk di atas tilam.
  2. Masa terbangun di tengah malam( Belajar seperti No.1)
  3. Masa bangun tidur. Subuh/pagi.Bayangkan pelajaran semalam.
  4. Masa ke tandas waktu pagi (ingatkan perkara yang terlupa)
  5. Masa ke tandas waktu malam (sama seperti No.4)
  6. Masa bercermin (Lekatkan Nota penting Dekat cermin)
  7. Masa sarapan pagi (Baca selembar dua suratkhabar)
  8. Masa berjalan ke sekolah (Tanya diri-sifir dan formula)
  9. Masa menunggu bas (Ulangkaji kad nota atau bayangkan)
  10. Masa di dalam bas atau kereta (ulangkaji harian/cepat)
  11. Masa berjalan ke sekolah ( Tanya diri pasal sifir , formula dan lain-lain lagi)
  12. Masa sampai awal pagi ke sekolah ( ulangkaji harian/cepat)
  13. Masa menunggu cikgu yang terlewat(ulangkaji cepat)
  14. Masa rehat (ke perpustakaan baca ringkas buku-buku)
  15. Masa sebelum pulang (Lwatkan pulang buat kerja rumah)
  16. Masa berjalan pulang ( tanya diri pasal sifir)
  17. Masa berada dalam bas ( baca kad nota)
  18. Masa rehat selepas makan (baca novel/majalah)
  19. Masa rehat selepas makan malam (Baca rencana akhbar dan lain-lain)
  20. Masa menonton tv (melukis rajah-rajah, peta, tulis formula dan lain-lain)

Setakat nie dahulu..mungkin akan sambung kemudian..Dah abis idea la pula..Bila ade berita terbaru, baru saya hebahkan dan ikuti perkembangan saya di sini...